Vaksin Covid-19 perlu rujuk fatwa kebangsaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan Kelantan berharap kajian terperinci dilakukan selain merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan vaksin COVID-19 menepati syarak, sebelum ia dapat digunakan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu penting bagi mengelak berlaku sebarang polemik.

“Ada dalam masyarakat yang tolak terus vaksin ini tetapi bagi saya ini tidak tepat daripada segi agama sebab vaksin juga antara usaha untuk kita mencegah daripada sesuatu penyakit.

“Jadi, kalau ia halal dan tidak bercanggah syarak apa salahnya. Namun, kita minta supaya kerajaan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat,” katanya ditemui selepas mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini dengan penghantaran pertama membabitkan sejuta dos vaksin itu akan dibuat pada suku pertama tahun hadapan.

Bekalan itu akan diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer, hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) Selasa lalu.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM dalam kenyataan bersama, keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis serta petugas penjara dan imigresen.

Sumber : Berita Harian