Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU, 27 Februari – Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini menemui titik noktah apabila warga emas tersebut ditemui selamat pada 27 Februari.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang, mangsa dikenali sebagai Lijah Embong, 81, ditemui dalam lingkungan jarak 1 kilometer dari kediamannya, sekitar 10.30 malam.

“Mangsa didapati sihat dan hanya mampu duduk dibawah pokok kelapa sawit.

“Pihak bomba menghantar mangsa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, anak mangsa, Mohd Aziz, 49, berkata, dia bersama penduduk kampung meneruskan pencarian ibunya malam tadi selepas isyak terdengar suara memanggil “nak balik’.

“Sejurus terdengar suara tersebut saya memanggil emak  berulang kali dan terus meluru ke tempat tersebut.

“ Allhamdullilah, saya bersyukur mak ditemui dalam keadaan sihat hanya kepenatan dan kelaparan disebabkan beberapa hari hilang,”katanya.

Kehilangan Lijah Embong, 81, yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk dan disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu.

Mangsa dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang.

Operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula sejurus menerima laporan kehilangannya pada Khamis lalu.

Khidmat anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan khidmat anjing pengesan Unit K9 Polis juga digunakan untuk mengesan mangsa hilang dari Kampung Gaung Hangus di sini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga semalam.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau mengucapkan berterima kasih kepada semua Agensi Awam dan masyarakat yang bertungkus lumus beberapa hari ini mencari mangsa yang hilang sehingga ditemui. 

Ia menandakan semangat berganding bahu masyarakat dalam menghadapi situasi sukar seperti ini yang tidak kenal erti penat lelah untuk membantu sehingga mangsa ditemui dengan keadaan selamat,” katanya.

Sumber: TRDI News