Warga emas pakai gelang kuarantin ingkar SOP dikompaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Raub: Dua warga emas antara tiga lelaki dikompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, tiga individu yang dikompaun itu masing-masing berusia 73, 69 dan 52 tahun.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan hasil operasi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di daerah itu bermula 12.30 tengah hari hingga 2 petang.

“Mereka didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan mengikut peraturan PKPD iaitu gagal kuarantin di rumah sendiri selepas memakai gelang merah jambu dan berkumpul serta makan di kedai.

“Alasan yang diberikan selepas dikuarantin adalah `panas’ berada di rumah dan ingin bersiar-siar.

“Alasan sebegini adalah sangat tidak munasabah dan boleh merebak jangkitan Covid-19 kepada umum sekiranya didapati positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dua lelaki berusua 52 dan 69 tahun dikompaun mengikut Perkara 25(a) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 berjumlah RM2,000 atas kesalahan berkumpul dan makan di kedai dalam kawasan PKPD tanpa alasan munasabah.

“Lelaki berusia 73 tahun dikompaun mengikut Perkara 22(b) PPPDPPB dengan jumlah RM5,000 kerana gagal kuarantin di rumah sendiri kerana memakai gelang berwarna merah jambu,” katanya.

Sumber: My Metro